Friday, April 11, 2008

DAKWAH SECARA RAHSIA

Sebelum nabi Muhammad saw dilantik menjadi rasul, beliau selalu bersendirian dan mengasingkan diri untuk beribadah di Gua Hira’. Setiap tahun nabi Muhammad saw mengkhususkan beberapa hari ke sana, khususnya pada bulan Ramadhan. Nabi Muhammad saw pulang ke rumah sekali sekala bagi mengambil makanan, menziarahi keluarga dan sebagainya. Pada malam 27 Ramadhan, ketika nabi Muhammad saw sedang beribadah di Gua Hira’, tiba-tiba muncul malaikat Jibril menyuruh nabi Muhammad membaca “Iqra”. Kali pertama dan kedua nabi Muhammad tidak dapat menyebutnya. Malaikat Jibril menyuruh nabi Muhammad membaca lagi. Dalam keadaan takut, akhirnya nabi Muhammad saw dapat membaca “Iqra” ( kali ketiga) . Tiba-tiba malaikat Jibril hilang. Peristiwa itu memeranjatkan kerana nabi Muhammad saw belum pernah melihat makhluk yang agung. Selepas itu, nabi Muhammad saw balik ke rumahnya dengan perasaan menggeletar dan takut. Ketika sampai di rumahnya, nabi Muhammad saw meminta isterinya, Khadijah menyelimutkannya. Enam bulan selepas peristiwa itu, sekali sekala nabi muhammad didatangi oleh malaikat Jibril. Kali ini, beliau menerima perintah supaya mula menyebarkan agama yang benar iaitu agama islam. Maka bermulalah dakwah nabi muhammad saw secara rahsia. Nabi muhammad saw hanya menyampaikannya kepada keluarga dan sahabat terdekat. Beliau menyeru supaya mereka percaya kepada keesaan Allah dan meninggalkan pemujaan berhala. Orang yang pertama yang beriman dengan ajarannya adalah isteri beliau iaitu Khadijah. Beberapa orang sahabat karib beliau turut mempercayai ajaran yang dibawanya seperti Ali bin Abu Talib, Abu Bakar, Zaid bin Harithah, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, Abu Ubaidah al-Jarrah, al-Arqam bin Abi Al-Arqam dan lain-lain lagi. Hampir 3 tahun nabi Muhammad saw menjalankan dakwahnya secara rahsia. Selama 3 tahun ini, nabi Muhammad saw berjaya mengislamkan lebih kurang 60 orang.